
Anwar Ibrahim|Mar 11, 2025 07:42
Saya berasa amat tersentuh dan bersemangat tatkala menjejakkan kaki di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tengah hari tadi kerana ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini.
Kehadiran saya telah menghimbau kisah dan pengalaman 42 tahun lalu, yakni ketika saya diberi amanah untuk berkhidmat sebagai Menteri Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1983. Masih segar di ingatan betapa pegawai-pegawai belia di daerah-daerah tetap bekerja dengan semangat juang yang tinggi meski berdepan tantangan dan kekangan yang ada.
Saya hadir ke Program Ihya’ Ramadan di KBS, yang merupakan kementerian keempat program ini diadakan selepas Jabatan Perdana Menteri, MOSTI, dan PETRA. Turut bersama saya ialah Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan Timbalan YB Adam Adli serta barisan kepemimpinan tertinggi kementerian.
Program dimulakan dengan Mesyuarat Bersama Pimpinan Pengurusan KBS, di mana pelbagai isu utama dibincangkan untuk memastikan penambahbaikan kebijakan serta mekanisme yang relevan dengan arus pendigitalan, teknologi, dan perubahan ekonomi global.
Saya menekankan keperluan untuk KBS mengkaji semula kursus dan latihan kemahiran agar memenuhi kehendak industri, memastikan pengurusan berfungsi dengan cekap tanpa pembaziran, serta membentuk budaya kerja yang lebih dinamik dan inklusif bagi golongan belia.
Seterusnya, saya bersama warga KBS menghadiri tausiah bertajuk “Ramadan: Tarbiah Emosi dan Jasmani Belia MADANI” oleh Ustaz Haji Mohd Lukmanul Hakim bin Mokhtar dari JAKIM, diikuti solat Zohor secara berjemaah. Ramadan adalah madrasah yang terbaik dalam membentuk kualiti kepemudaan yang penuh idealisme, rohani yang kukuh, dan semangat untuk memberi dampak kepada nusa dan bangsa. Seperti yang dinukilkan dalam bait puisi Abu al-Fath al-Busti:
“Wahai pengabdi jasmani, betapa penat kau merawatnya,
Bak mencari laba di pasar ruginya segala niaga.
Hadap sajalah jiwa dan minda, bina hingga sempurna,
Dengan akal budi, bukan raga jasmani, kau jadi manusia.”
Semoga Ramadan terus menjadi medan untuk kita memperkukuh jasmani dan rohani dalam membina sebuah tatanan yang madani dan berketerampilan.
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Share To
HotFlash
APP
X
Telegram
CopyLink