Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim|Mar 10, 2025 05:03
Syabas dan sekalung penghargaan kepada warga HASiL atas peningkatan kutipan cukai langsung bagi tahun 2024 kepada RM184.805 bilion—yakni RM1.465 bilion lebih tinggi ketimbang tahun 2023. Peningkatan ini mencerminkan penambahbaikan tatakelola serta disiplin tinggi warga HASiL dalam melaksana serta memperteguh amanah kepada negara dan rakyat. Kerajaan MADANI kekal beriltizam untuk berdiri teguh bersama HASiL dalam memastikan keadilan fiskal terus ditegakkan. Ini bermaksud kita tidak akan sesekali cuai dan leka, terutamanya dalam memastikan tidak ada mana-mana pihak culas daripada menunaikan tanggungjawab cukai. Selalu saya tekankan bahawa sistem percukaian tidak boleh menjadi beban atau bersifat ‘punitive’. Hakikatnya, Malaysia mempunyai pelbagai pelepasan cukai yang jauh lebih banyak berbanding negara-negara tetangga. Walhasil, jumlah pembayar cukai pendapatan di negara ini juga masih kecil sekiranya dibandingkan dengan keseluruhan populasi serta bilangan syarikat yang beroperasi. Justeru, kita mampu meningkatkan kutipan hasil apabila wujud kesedaran bersama bahawa membayar cukai adalah suatu tanggungjawab bersama demi negara. Hasil inilah yang digunakan untuk membangunkan prasarana dan kemudahan awam, menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, menjamin peningkatan kepada bantuan sara hidup serta mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan awam—dan ia mesti berpangkal pada pengurusan yang cekap dan berkesan agar setiap wang cukai itu benar-benar mengolah serta menterjemah harapan rakyat dan negara. #MalaysiaMADANI
Mentioned
Share To

Timeline

HotFlash

APP

X

Telegram

Facebook

Reddit

CopyLink

Hot Reads