
Anwar Ibrahim|Feb 17, 2025 06:14
Pagi tadi saya kembali ke bilik darjah tetapi bukan sebagai guru, tetapi sebagai seorang pemimpin yang mahukan persekitaran dan keadaan sekolah yang baik dan selesa buat anak-anak bangsa selain mendengar suara dan keluhan guru, ibu bapa, termasuk para pelajar.
Di Sekolah Kebangsaan Kg Baru, saya meninjau sendiri keadaan dan suasana hari pertama persekolahan dan dedikasi serta kecekalan para pendidik yang bersungguh-sungguh membentuk masa depan bangsa dan negara. Dalam kunjungan mengejut dan singkat tersebut, saya luangkan masa mendengar kerana perihal pendidikan bukan sekadar buku teks dan peperiksaan, tetapi soal membina impian, menerjah peluang, dan mencorak harapan.
Saya sempat menghimbau saat berdiri di hadapan mahasiswa di Georgetown University, Washington DC di tahun-tahun lampau, yakni betapa besarnya peranan seorang guru dan pendidik dalam membimbing bukan sahaja dengan ilmu, tetapi dengan kasih sayang, sikap ihsan yang terdalam, contoh teladan dan hikmah. Sudah tentu sekolah dan universiti adalah dua persekitaran yang berbeda, namun semangat mencurah bakti adalah yang sama.
Justeru, sekolah mesti menjadi tempat yang selamat, selesa, dan penuh harapan kerana pendidikan adalah pintu kejayaan. Dan di sebalik setiap harapan, ada tanggungjawab yang kita—sebagai pemimpin, guru dan pendidik serta ibu bapa—genggam dan pikul bersama demi kejayaan anak bangsa.
Kepada anak-anak yang memulakan hari pertama persekolahan hari ini, selamat kembali menimba ilmu.
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Share To
Timeline
HotFlash
APP
X
Telegram
CopyLink